Saturday, January 22, 2011

Menghadapi Hutang Berlebihan

Tak dinafikan pada masa sekarang hutang menjadi perkara yang penting dalam kehidupan kita semua. Kita perlu berhutang apabila mahu membeli harta-harta yang besar seperti kereta, rumah, memulakan perniagaan, dll. Hutang seperti ini tak dapat kita elakkan kerana adalah mustahil bagi kita semua dapat membelinya dengan tunai.

Ada juga yang berhutang untuk membeli keperluan-keperluan rumah seperti televisyen, peti sejuk, set 'home-teater' dan banyak lagi. Maklumlah terdapat banyak promosi-promosi 'Zero Interest' dengan menggunakan kad kredit yang sememangnya memukau kalbu untuk kita membeli sesuatu barang walaupun kita tidak mempunyai wang untuk membayar secara langsung. Tidak kurang juga yang membuat pinjaman peribadi untuk bermacam tujuan yang berfaedah dan sebaliknya.

Tidak dinafikan juga semua orang tidak suka berhutang. Tetapi dalam sedar tak sedar jikalau tak dikawal, ada kalanya hutang-hutang ini berada pada tahap berlebihan dan boleh mengganggu kelangsungan kehidupan seharian kita. Dalam erti kata lain jumlah-jumlah hutang ini telah memakan sebahagian besar ataupun memakan sebahagian kalau tak keseluruhan 'gaji bawa balik' atau 'take home pay' sehingga kita terpaksa membuat hutang-hutang baru untuk mengawal perbelanjaan masa depan.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengawal dan menguruskan hutang yang berlebihan:-

  •  Kenalpasti tahap kedudukan hutang. Ini paling penting. Kita sepatutnya mengambil tahu tentang kedudukan hutang semasa. Sentiasa berhubung dengan pihak bank atau pihak pemberi hutang untuk mengetahui maklumat-maklumat tentang baki hutang, tarikh akhir pembayaran, kadar caj lewat dan tahap dan keadaan macam mana atau tunggakan bulan keberapa yang pihak tersebut akan mengambil tindakan selanjutnya. Beritahu mereka sekiranya terdapat masalah untuk membuat pembayaran dengan segera. Beritahu juga jikalau anda tidak suka mereka menghubungi anda pada waktu-waktu tertentu contoh pada masa kerja dan beritahu juga masa yang sesuai anda boleh dihubungi. Dalam erti kata lain masalah seperti ini tidak boleh diambil sambil lewa sehinggakan sampai kepada tahap yang parah. Pihak bank juga perlu tahu sekiranya anda masih berminat untuk meneruskan dengan jadual pembayaran atau mereka akan meneruskan dengan tindakan undang-undang.

  • Satukan tanggungan. Salah satu cara menguruskan hutang dalam keadaan yang terkawal ialah dengan cara menyatukan kesemua hutang-hutang kepada satu hutang sahaja. Cari lah pakej yang menawarkan kadar caj faedah/keuntungan yang rendah dan panjangkan tempoh pembayaran supaya bayaran bulanan dapat dikurangkan seterusnya dapatlah mengawal kewangan dengan lebih selesa. Cara yang lain ialah dengan membuat refinance pinjaman perumahan sedia ada kepada bank lain dengan membuat 'top-up' atau menambah jumlah pinjaman mengikut nilai semasa rumah. Pinjaman tambahan yang dibuat bolehlah dibuat untuk membayar pinjaman yang lain seperti pinjaman peribadi, kad kredit atau pinjaman kereta.

  • Penjadualan/Penstrukturan semula akaun pinjaman. Kebanyakan bank sekarang menawarkan kemudahan ini kepda peminjam - reschedule/restructuring. Kemudahan ini diberikan kepada sesiapa yang menghadapi masalah untuk membayar pinjaman mereka. Caranya ialah dengan memanjangkan lagi tempoh pembayaran dan memasukkan semua caj-caj yang telah dikenakan menjadi jumlah pinjaman yang baru.

  • AKPK - Agensi ini telah ditubuhkan pada April 2006 oleh Bank Negara Malaysia. Kemudahan yang disediakan antara lain menyediakan khidmat kaunseling, memberi khidmat pendidikan pengurusan kewangan dan juga menjadi orang tengah antara peminjam dan bank untuk menyelesaikan masalah pembayaran pinjaman peribadi dan kad kredit.

Cara-cara diatas adalah beberapa cadangan yang boleh diambil dalam menghadapi situasi hutang berlebihan. Bagaimanapun terdapat banyak lagi cara-cara yang boleh diambil dalam menangani isu tersebut sesuai dengan keadaan masing-masing. Yang penting, masalah seperti ini perlulah diberi perhatian dan ditangani dengan segera bagi membolehkan kita merancang strategi kewangan masa depan seperti simpanan hari tua dan simpanan untuk anak-anak dll.

No comments:

Post a Comment