Sunday, February 20, 2011

Jom Pergi Zoo

Cuti raya cina yang lepas, kami sekeluarga telah meluangkan masa pergi bersiar-siar ke Zoo Negara Malaysia. Itupun setelah beberapa kali di desak oleh anakku yang pertama tu; mungkin rakan-rakannya atau cikgunya telah bercerita tentang Zoo. Hujung minggu sejak kebelakangannya kebetulan aku kena bekerja kerana kerja yang banyak perlu dihabiskan. Kebetulan pula cuti yang panjang aku membawa keluargaku menziarahi ibu di Salak Tinggi, jadi dalam perjalanan pulang dari Salak Tinggi kami terus singgah di Zoo Negara Malaysia.



Sampai di sana pada pukul 3 petang dan cuaca hari itu amat panas, tetapi sebaik saja aku memarkir kereta cuaca tiba-tiba pula jadi redup. Alhamdulillah, dah rezeki anak-anak.. Sebenarnya aku telah pun membawa anak ku Fatah pergi ke sini sekali tetapi mungkin dia masih kecil jadi dia pun tak ingat apa-apa. Oleh kerana cuti, ramai juga yang berkunjung hari itu, tidak kurang juga pelancong asing yang datang.



Dengan berbekalkan peta yang terdapat pada 'brochure', kami pun memulakan 'pengembaraan' melihat berbagai-bagai haiwan. Walaupun terdapat perkhidmatan 'trem' yang membawa pengunjung sekeliling Zoo, kami membuat keputusan untuk berjalan sahaja, puas sikit tengok. Anak-anakku cukup terhibur melihat haiwan-haiwan terutamanya gajah, zirafah, harimau dan banyak lagi. Cadangnya nak melihat pertunjukan singa laut tetapi oleh kerana ramai orang yang hadir hari itu, tak sampai juga hajat kami untuk melihatnya.





Dalam pukul 5.40 petang, hampir dua pertiga taman telah kami kunjungi. Suasana pun sudah mula gelap, kaki pun dah rasa penat. Besar juga Zoo Negara, tak habis juga kami nak pusing keseluruhan kawasannya. OK lah tu, lain kali kalau nak pergi mesti pergi awal-awal sikit. Sempat juga aku membeli sedikit madu lebah di Muzium lebah tu. Selepas membeli sedikit makanan kami pun terus keluar. Balik tu singgah makan malam di Rawang.





*********

Zoo Negara terletak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, di Ulu Kelang. Perjalanan dari Pusat Bandar Kuala Lumpur mengambil masa selama lebih kurang 15 minit. Dibuka secara rasmi pada tahun 1963, ianya ditadbir sepenuhnya oleh Badan Bukan Kerajaan, Malaysian Zoology Society. Ianya bergantung sepenuhnya kepada kutipan tiket masuk dan sumbangan dari penderma dan syarikat-syarikat penaja yang membiayai kos-kos pengendalian sesetengah haiwan.

Bayaran Masuk yang dikenakan ialah RM20 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak (3 hingga 12 tahun) dan warga emas. Bagi pengunjung tanpa Mykad tiket masuk yang dikenakan adalah RM30 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.   

Jikalau tiada pengangkutan sendiri bolehlah menggunakan pengangkutan awam. Caranya ialah dengan mengambil LRT (aliran Kelana Jaya) dan turun di stesen Wangsa Maju dan mengambil teksi ke Zoo Negara. Cara lain adalah dengan menaiki Bas Metro nombor 16 dari Pasar Seni, Bas Rapid KL nombor U34 dari stesen LRT Wangsa Maju dan nombor U23 dari Stesen Titiwangsa, bersebelahan dengan Stesen Bas Pekeliling.


 
Kemudahan yang disediakan antaranya ialah perkhidmatan kereta 'Trem' yang membawa anda mengelilingi sekeliling kawasan Zoo dan boleh berhenti dan menaiki trem di 'stesen' khas yang terdapat di keseluruhan kawasan Zoo. Lain-lain perkhidmatan ialah Kiosk makanan, kiosk cenderamata, surau, tandas dll. Kawasan keseluruhan Zoo agak besar, jikalau anda ingin merancang 'pengembaraan' dengan lebih teratur, anda boleh mendapatkan peta lokasi haiwan-haiwan dan kemudahan-kemudahan yang terdapat pada brochure di pintu masuk. Sumbangan sebanyak RM2 dikenakan. Anda juga boleh melihat sendiri dan mengambil bahagian semasa haiwan-haiwan ini diberi makan. Jadual pemberian makanan boleh didapati didalam peta.

Zoo Negara Malaysia Kuala Lumpur agak unik dengan Zoo lain, kerana ianya terletak di dalam kawasan semulajadi haiwan dimana banyak pokok-pokok besar yang terdapat didalam kawasan hutan hujan. Terdapat sebatang sungai dan anak sungai yang mengalir didalam kawasan Zoo.


********

Sesuai dengan moto Zoo Negara Malaysia untuk menjadi Zoo kelas dunia, banyak aktiviti-aktiviti dan program-program pembelajaran yang disediakan dimana ianya mengajak orang ramai mengambil bahagian samada program-program yang disediakan oleh pihak Zoo ataupun mereka boleh menganjurkan aktiviti sendiri seperti hari keluarga.

Bagi saya ianya adalah perkembangan menarik dari pihak Zoo Negara Malaysia, cuma dari segi keadaan kawasan kandang haiwan, lanskap dan keceriaan keseluruhan, saya rasa masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk penambahbaikan. Ianya perlu diberi perhatian oleh pihak Zoo jikalau ianya mahu merealisasikan moto terbaru mereka. Sekian.


No comments:

Post a Comment