Monday, November 8, 2010

Menyimpan?

Bab ini mungkin pembaca semua sudah kerap kali jumpa dan baca di mana-mana majalah, blog, dan dalam akhbar. Mungkin anda semua telah pun mempunyai perancagan sendiri tentang pengurusan kewangan dalam hidup masing-masing. Tetapi saya rasa tidak salah kalau saya menambah lagi bacaan anda tentang bab ini, siapa tahu dengan artikel ini dapat membuka mata anda tentang pentingnya pengurusan kewangan.

Perkara pertama didalam pengurusan kewangan yang kita harus tekankan ialah 'menyimpan'. Apa-apa pun yang kita ingin lakukan atau yang kita rancang sudah tentulah tidak akan berjalan lancar kalau tidak ada simpanan. Menyimpan atau pengumpulan wang boleh dilakukan dengan bergbagai-bagai cara. Cara yang paling mudah pula ialah dengan tidak mengusik atau membelanjakan wang yag kita dapat melalui majikan iaitu gaji atau wang yang kita dapat dari hasil perniagaan.

Kepada yang sukar untuk tidak membelanjakan semua gaji yang dapat, ada yang membuat 'Standing Instruction' untuk sejumlah wang dari gaji yang diterima untuk dipindahkan secara arahan terus ke akaun simpanan yang khusus seperti ASB, tabung haji atau sekadar akaun simpanan biasa.

Namun tidak semua dariapada kita yang bernasib baik boleh menyimpan sebahagian daripada gaji yang diterima. Ada yang gajinya sekadar cukup-cukup untuk membayar bil, pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan perbelanjaan seharian.

Tidak kurang juga yang gajinya tidak mencukupi untuk menyampaikan kepada gaji yang seterusnya. Bagi mereka yang tidak mencukupi gaji, ada yang membuat kerja tambahan untuk menampung perbelanjaan harian. Cara begini mungkin boleh menampung dan menampal keadaan dalam waktu yang terhad sahaja. Ini kerana semakin lama tubuh badan kita pun akan menerima kesan dan seterusnya ditakuti akan mempengaruhi kerja yang pertama dan kualiti berkeluarga.

Disinilah pengurusan kewangan dan kehidupan menjadi amat penting. Tetapi ini bukan bermakna ianya tidak penting kepada yang mempunyai wang yang berlebihan setiap bulan. Malah ianya tidak berkurang penting kepada golongan ini kerana kalau tidak dikawal dan diuruskan, takut terjadi pembaziran dan kerugian besar oleh kerana terlepas peluang dan masa.

Adakah anda tahu semakin awal anda menyimpan semakin besar keuntungan yang kita boleh perolehi kelak? Oleh itu apa lagi ditunggu mari kita menyimpan. Bagi mereka yang mempunyai kadar perbelanjaan yang cukup-cukup tu saya boleh memberi cadangan seperti berikut:-

  • Kenal pasti keperluan dan kehendak. Buka buku belanjawan seharian selama sebulan atau lebih. Catitkan segala perbelanjaan seharian dan juga tentukan perbelanjaan hakiki dan bil-bil yang wajib dilangsaikan. Contoh: perbelanjaan petrol untuk pergi kerja, makan di tempat kerja. Setelah anda mengumpul maklumat yang secukupnya, dapat lah anda tolak ketepi perbelanjaan yang wajib ini. Perbelanjaan wajib ini adalah perbelanjaan yang anda tidak dapat elakkan demi meneruskan kelangsungan kehidupan anda.
  • Membeli belah secara pukal atau sekali untuk sebulan. Apabila anda sudah membuat analisa tentang perbelanjaan yang telah di catit selama sebulan tadi, maka maka mudahlah untuk menganggarkan kuantiti barang-barang keperluan yang harus dibeli untuk sebulan.Dengan cara ini bukan sahaja dapat berjimat dengan harga yang lebih murah malah dapat juga jimat kos petrol dan juga tenaga untuk membeli barang-barang tersebut berulang kali.
  • Simpan duit-duit baki (syiling) hasil dari perbelanjaan seharian didalam tabung atau bekas khas. Hasil yang terkumpul bolehlah disimpan terus ke dalam akaun bank apabila sudah banyak atau bila keadaan memerlukan tidak perlulah meminjam dari orang lain.
  • Bawa bekal ke pejabat. Biasanya sesuai untuk bekalan makan pagi atau sekadar makan pagi. Anda pasti akan merasa hasilnya walaupun dengan jumlah yang sedikit dapat dijimatkan dalam perbelanjaan seharian, misalnya jikalau dapat berjimat sebanyak RM2.50 dalam perbelanjaan seharian jumlah ini akan menjadi RM75 sebulan.

Apa yang penting, cadangan-cadangan diatas haruslah diterapi dalam kehidupan seharian secara konsisten. Dalam ertikata lain harus fokus dalam membawa perubahan kewangan dalam kehidupan. Harus difahami juga yang sebenarnya pengurusan kewangan ini adalah sama dengan pengurusan kehidupan. (Pengurusan Kewangan = Pengurusan Kehidupan). Jikalau kehidupan seharian dapat diuruskan secara baik, ianya juga reflektif oleh pengurusan kewangan yang efektif. Begitu juga sebaliknya.

Kadangkala kita kena berkorban untuk mendapat sesuatu yang lebih berharga pada masa hadapan. Jikalau dapat difokuskan, percayalah dalam masa dua ke tiga tahun akan datang anda akan dapat merasakan hasilnya. Apa yang penting tabiat meyimpan haruslah diteruskan sampai bila-bila demi kesejahteraan kehidupan sendiri dan keluarga..